Antara soalan yang sering diajukan oleh mereka yang baru nak berjinak-jinak dalam dunia perniagaan adalah, lebih baik mulakan perniagaan seorang diri atau pun secara berjemaah? Pilihan mana yang lebih baik dan menguntungkan?
Bagi saya, kalau anda nak perniagaan anda cepat naik, boleh mulakan secara berseorangan. Tetapi ingat, apa-apa yang naik cepat, turun pun cepat juga. Kalau anda nak perniagaan anda mampu pergi jauh dan bertahan lama, anda harus mulakan perniagaan anda secara berjemaah. Cari rakan kongsi. 3 orang rakan kongsi adalah bilangan yang pada pendapat saya, paling efisien. Tidak terlalu ramai dan tidak sedikit. Setiap kata putus dapat dibuat dengan lebih pantas.
Kebaikan Rakan Kongsi
Antara kebaikan memiliki rakan kongsi adalah:
- Kos permulaan perniagaan dapat dibahagi sama rata.
- Dapat melengkapi antara satu sama lain. Manfaat kepakaran yang sorang dapat dikongsi bersama.
- Mengurangkan beban tanggungjawab di dalam pengurusan syarikat.
- Risiko yang bakal dihadapi boleh dibahagi sama rata dengan rakan kongsi.
- Rakan kongsi dapat membantu memberi semangat antara satu sama lain andai ada yang berasa tidak bersemangat.
Sebab Tidak Mahu Ada Rakan Kongsi
Ramai peniaga kecil tidak dapat mengembangkan perniagaan mereka kerana tidak mahu mencari rakan kongsi. Antara sebab yang pernah saya terima pula adalah:
- Tidak mempercayai orang lain. Takut ditipu dan terpaksa menanggung rugi yang tinggi akibat ditipu.
- Mahu membolot segala keuntungan syarikat. Tidak mahu berkongsi. Tamak!
- Tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pengurusan syarikat. Sebelum satu keputusan dapat diambil, kata sepakat harus dicapai dahulu.
Sebab itu penting untuk anda wujudkan dan simpan rekod persetujuan antara anda dan rakan perniagaan. Jadikan ia sebagai dokumen profesional yang sah untuk dibawa ke muka pengadilan andai ada sesuatu yang terjadi. Dalam perniagaan, anda harus profesional. Tidak kira rakan anda itu adalah adik, abang atau pun kawan baik di universiti dulu.
Nak pilih rakan kongsi pun kena betul caranya. Ramai yang terperangkap dengan mencari rakan kongsi yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengannya. Orang bijak pandai berkata, jika kita punyai rakan kongsi yang sentiasa setuju dalam apa saja perkara, yang ada apa saja yang kita ada, ertinya salah seorang tidak diperlukan. Orang puteh kata itu “redundant”. Kita sebenarnya perlu pada rakan kogsi yang saling lengkap melengkapi. Dia ada sesuatu yang tiada pada kita. Itulah ciri yang diperlukan.
Modal Perniagaan
Dapatkan rakan kongsi yang mempunyai modal. Jangan anda seorang sahaja yang keluarkan modal. Berat sebelah namanya tu. Setiap jenis perniagaan perlukan modal. Bila sebut saja modal, semua orang akan terus terfikir modal duit. Jadi, jikalau tiada duit, adakah seseorang itu terus tidak boleh menjalankan perniagaan? Tahukah anda, modal itu boleh jadi unsur lain juga selain daripada duit?
1) Duit – Semua orang sedia maklum tentang modal ini. Dari awal kitaran perniagaan hingga selesai perniagaan, semuanya melibatkan duit. Orang puteh cakap “No Money, No Talk. Go back home, bye-bye.”
2) Kepakaran – Tidak semua orang kaya duit, tetapi kaya dengan kemahiran. Kemahiran ini menjadikan seseorang itu pakar. Kepakaran inilah yang boleh dijadikan modal sebagai permulaan perniagaan. Jika anda belum mempunyai kepakaran dalam apa-apa bidang, pergilah belajar sesuatu hingga menjadi pakar. Berikan masa 2 tahun kepada diri sendiri untuk memahirkan diri dalam sesuatu bidang.
3) Jaringan – Individu yang mempunyai ramai kenalan ini mempunyai pengaruh yang kuat. Jaringan yang luas sangat membantu dalam memajukan perniagaan. Lebih-lebih lagi jika dalam jaringannya itu ada wakil rakyat atau menteri. Senang mahu dapat tender.
4) Masa – Jika anda tidak ada duit, kepakaran pun kurang, kenalan hanya setakat rakan-rakan di tempat kerja, jangan risau. Anda masih ada masa. Ya, masa itu lebih berharga daripada emas. Gunakan masa anda untuk membantu usahawan lain memajukan perniagaannya. Sehebat manapun seseorang itu, masa yang terhad membuatkan dia sentiasa memerlukan bantuan manusia yang lain. Tak ada orang yang akan melonjak naik dengan tinggi dengan buat kerjas eorang diri.
Jadi, sewaktu memilih rakan perniagaan, anda boleh memikirkan kualiti apa yang anda mahu ada pada diri rakan anda itu. Duit, kepakaran, jaringan atau pun masa. Tepuk dada, tanyalah akal anda.
Jangan kedekut atau berkira sangat untuk menjalinkan kerjasama dengan orang lain. Kebarangkalian anda untuk survive dalam perniagaan lebih tinggi andai anda ada pasukan sendiri. Jadi, fikir-fikirkanlah ye. Harus diingat, nak bina pasukan ini perlukan masa. Team Avengers pun mengambil masa yang lama sebelum agent Fury berjaya mengumpul semua heronya. Inikan pula anda, manusia biasa yang tiada superpower.
P/S: Jika anda mahu belajar lebih banyak lagi berkenaan perniagaan dan pemasaran yang efektif secara PERCUMA, silajoin channel Telegram di SINI.
Leave a Reply