“Bersabarlah untuk satu-satu tempoh masa. Jangan putus asa. Tiada satu pun sesuatu yang berlaku adalah sia-sia..”
Saya mulakan bisnes 9 tahun lepas. 2 tahun bisnes sambil bekerja sebelum berhenti untuk bisnes sepenuh masa. Orang rumah, lepas tamat belajar, terus berbisnes. Minat sangat katanya..
Sebelum bisnes, kami berjaya membeli sebuah kereta kenari (sekarang sudah habis bayar) menggunakan nama isteri. Saya sendiri tak boleh beli pada masa itu sebab lekat CCRIS, majikan guna nama saya untuk beli kereta dan gagal membuat pembayaran baik setiap bulan.
Perniagaan pertama adalah kedai ‘topup’. Isteri yang baru habis belajar jaga kedai dari pagi sampai pukul 6.00 petang. Saya balik kerja petang sambung shift pukul 6 petang (kebiasaannya masih memakai baju korporat syarikat) sampai pukul 1.30 pagi. Begitulah rutin harian kami sehingga mampu buka kedai runcit (1 tahun setengah kemudian). Kedai runcit dibuka hasil sedikit keuntungan kedai topup yang dikumpul dalam masa setahun, lebih kurang RM13,000.
Bila buka kedai runcit, kami ada pekerja seorang. Isteri dan pekerja jaga shift pagi dan saya masuk shift malam sampai pukul 2.00 pagi. Kedai topup, pekerja saya yang sorang lagi jaga..
Sedikit keuntungan dari kedai topup dan kedai runcit, saya buka D’Apple Cafe & Restaurant pada tahun 2009. Kami masak sendiri siang dan malam. Masa ini saya dah berhenti kerja. Masa perit ini pernah isteri sampai 2 kali bersalin, hanya pantang 2 hari terus masuk dapur untuk memasak. Letak ‘baby’ dalam buaian kat tepi. Bukan apa, komitmen sangat besar, kami tiada pendapatan tetap. 6 bulan selepas buka restoran, kedai topup kami tutup sebab tak sempat nak ‘control’. Jualan kedai topup adalah tunai dan ia terdedah kepada penipuan jika tiada sistem rekod yang baik. Sewa kedai pula RM3,000 sebulan. Gaji pekerja restoran dan kedai runcit hampir RM5,000. Masa tu juga kami jatuh sebab duit habis dikebas pekerja.
Dari tahun 2007 – 2012 kami buat kiraan sebanyak RM650,000 sudah kami belanjakan untuk sewa, gaji, utiliti dan perbelanjaan untuk perniagaan.
(Apa yang menarik tentang kami adalah, kami tidak pernah tangguhkan hak pekerja dan hak penyewa. Biar tidak makan tapi gaji mesti langsai. Tak ada duit pergi lah cari kat mana-mana. Kami sangat sensitif dengan gaji pekerja)
Tapi kami??
Kami masih pakai kenari. Kami masih menyewa di rumah sewa kecil (450 kaki persegi) yang tidak mempunyai bilik. Ada ruang tamu, dapur dan 1 bilik air sahaja. Dengan 6 orang kami anak beranak, kami tidak pernah selesa… padat dan merimaskan. Tapi kami tetap bersyukur sebab walaupun rumah kecil tapi selamat. 6 tahun kami menyewa di sana tanpa televisyen dan radio. (ipad ada).
Kami suami isteri, 3 tahun tak pernah bertukar baju raya. 3 tahun pakai baju sama… Anak-anak? pakai baju murah-murah sahaja. Janji ada boleh pakai sahaja. Satu pasang untuk setiap orang, yang lain pakai tahun lepas punya.
Gelang, cincin, rantai, anting-anting?? Sekalipun tak pernah singgah di batang tubuh isteri… saya sendiri ? jauh sekalilah..
Walaupun sangat tabah, sekali sekala terkeluar juga rungutan dan rintihan daripada seorang isteri. Baju hanya sekali sekala membeli. Pernah juga hubungan dengan mertua tergugat sebab anak perempuan mereka (isteri saya) nampak macam papa. Tubuh kurus longlai tidak cukup tidur. Isteri pernah jatuh pengsan sebab terlalu keletihan pada hari ketujuh bersalin anak ke – 3. Pengsan, bangun, esok sambung balik sebab masa itu dibelit hutang yang banyak. Berhenti kerja nak niaga nak jadi kaya, tapi ini pulak jadinya.
Isteri pernah bertanya :
“Sebenarnya untuk apa kita berniaga ni bang?? 5 tahun tak ada apa-apa. Boleh untung, bayar gaji, bayar sewa, bayar bil, bayar itu dan ini, tiada satu melekat pada diri.”
Saya seperti biasa (mungkin puluhan kali dah waktu itu) memujuk… :
” Sabar ye sayang… sikit lagi.. InshaAllah semua ini akan berakhir ”
Ayat itu diulang-ulang beberapa kali sehingga tahun 2014. Ayat keramat tersebut dengan begitu sabarnya saya ucap dan tiup di telinga isteri dan anak-anak selama 7 TAHUN berkali-berkali tanpa rasa jemu. Saya tampak gagah di hadapan keluarga walaupun tiada siapa yang tahu selalu kesorangan menangis di malam harinya…
Anak-anak sering bertanya mengapa rumah kita kecil? Mengapa dia tiada bilik sedangkan kawan-kawan di sekolah bercerita bahawa mereka ada bilik tidur masing-masing, ada bilik air masing-masing.
Saya jawab :
” Sabar anak-anak abah… sikit masa lagi abah akan bagi bilik yang terbesar dan selesa untuk anak-anak abah.. “
Pernah isteri mintak izin nak kerja (nak cari extra income) dan saya sendiri pun pernah juga terlintas untuk berniaga sambil bekerja. Tapi selepas berbincang, kami buat keputusan untuk fokus kepada bisnes dan cuba baiki apa yang patut.
Hanya pada akhir tahun 2014 keadaan menjadi semakin baik. Dan selepas 7 tahun berniaga, barulah hasilnya nampak sedikit. Anak – anak dah dapat bilik impian mereka (walaupun tak besar) cuma isteri masih belum dapat anting-antingnya.
Pada masa itu barulah kami sedar bahawa di situlah gunanya RM650,000 yang pernah kami habiskan untuk orang lain yang kami sangka tidak pernah melekat pada diri sendiri.. Kena berhabis dulu baru datang hasilnya selepas satu masa.
“What you give, you’ll get it back”
” The more you give, more you get ”
La Tahzan, Innallahama’ana
” Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita ”
Berkat kesabaran, fokus dan tidak berputus asa dan hanya selepas 7 tahun pertarungan, barulah Allah kurniakan sesuatu yang amat besar. Syukur Ya Allah.. Mohon ia berpanjangan.. Aamin..
Kisah ni saya namakan ” 7 tahun yang tiada apa-apa..”
Nota: Artikel ini ditulis berdasarkan perkongsian yang telah ditulis oleh CEO syarikat D’Apple, Abd Hakim Awang. Kisah ini dikongsi oleh beliau untuk tujuan memberi semangat dan motivasi kepada kita semua.
P/S: Safuan Borhan ada menyediakan satu platform perkongsian ilmu bisnes dan marketing secara PERCUMA di SINI. Boleh lah join.
Leave a Reply