Nota Editor: Artikel ini ditulis oleh Bantu Team untuk blog mereka,blogspace.bantu.my. Bantu.my merupakan platform jual beli online untuk khidmat atau skil berkaitan bisnes, teknologi & rekaan kreatif.
Hampir 50% perniagaan mikro atau kecil menemui kegagalan — iaitu ditutup atau dihentikan operasi — dalam tempoh 5 tahun. Apakah cara terawal untuk memastikan perniagaan anda tidak menemui nasib yang sama? Lebih-lebih lagi jika anda masih di peringkat idea sahaja.
Kuncinya terletak pada nilai idea itu sendiri dari sudut pandangan perniagaan. Ini kerana ia merupakan asas dalam meletakkan perniagaan anda di posisi yang baik dan memberi ruang kepada perniagaan itu untuk terus berkembang.
Berikut adalah 8 langkah membina perniagaan dari idea anda:
1. Mulakan Dengan Sebab Yang Betul
Bunyinya aneh tetapi terdapat banyak sebab yang tidak betul untuk memulakan sesebuah bisnes – sebagai contoh mungkin anda tidak sukakan tanggungjawab yang sukar, mungkin juga kerana anda mahu membuat duit dengan cara mudah sahaja atau mungkin juga anda mahu melakukan sesuatu kerana ramai orang melakukannya.
Secara realitinya, membina perniagaan yang berjaya memerlukan kerja keras, semangat yang kuat dan bersedia menghadapi cabaran tidak kira besar mana sekalipun — semua ini tidak akan dapat dicapai jika anda berada dalam bisnes disebabkan sebab yang tidak betul.
Sebaliknya, jika anda mahu memulakan bisnes disebabkan minat dan semangat yang sangat mendalam terhadap apa yang anda lakukan atau anda mahu berkongsi penyelesaian yang sangat bermanfaat bagi masalah yang benar-benar dihadapi oleh pelanggan, anda mungkin berada di permulaan yang baik.
2. Brainstorm Habis-Habisan
Langkah seterusnya, anda perlu memikirkan dan melakukan sesi berfikir atau brainstorming habis-habisan mengenai struktur idea anda. Lakukan beberapa sesi selama 30 minit setia sesi secara individu atau bersama seorang lagi yang mungkin akan terlibat bersama. Jangan letak limit terhadap idea anda kerana di peringkat ini, semuanya masih tidak dikira final. Fikirkan juga perkara-perkara seperti apa yang anda tahu, apa yang anda sukakan, apa yang anda pernah lakukan atau apa yang anda impikan.
Selepas itu, cari sesiapa yang anda rasakan mempunyai pengetahuan tentang perniagaan dan boleh dipercayai. Tanya pendapat mereka sedikit mengenai idea peniagaan anda dan kekuatan diri anda yang mereka nampak. Catatkan semua itu dan ingat, kekalkan pemikiran yang terbuka mengenai apa yang mereka sampaikan.
3. Pilih Satu Untuk Difokuskan
Dari pengalaman saya sendiri, sewaktu proses brainstorming akan muncul pelbagai idea-idea berkaitan yang lain atau juga idea-idea baru yang tidak ada kena mengena dengan idea asal anda. Anda perlu ingat, hidup anda tidak dilimitkan kepada satu idea sahaja. Namun, anda perlu pilih satu dahulu idea untuk dimulakan supaya anda boleh memberi fokus yang penuh kepada pembinaan perniagaan dari idea itu.
Pilih berdasarkan kemahiran anda, rangkaian kenalan anda, minat anda dan peluang yang wujud untuk idea tersebut.
4. Uji Pasaran Anda (Dan Lakukan Beberapa Kali)
Kebanyakan perniagaan baru tidak mahu menguji terlebih dahulu sejauh mana atau sebesar mana pasaran mereka. Bagi mereka langkah ini membuang masa dan memerlukan kos (atau mungkin juga mereka takut dengan hakikat yang mereka tidak mempunyai pasaran yang sebenar atau jelas). Sebenarnya, lebih teruk akibatnya jika anda memulakan perniagaan dan setelah menghabiskan masa yang lama (serta duit yang banyak) anda baru sedar bahawa saiz pasaran perniagaan anda amat terhad.
Sebenarnya, banyak cara untuk menguji pasaran anda tanpa memerlukan kos yang besar. Antaranya, tanya secara spontan orang ramai di tempat awam, yang berada dalam kategori sasaran pelanggan anda dan dengar pendapat serta masalah mereka. Satu lagi cara ialah menggunakan media sosial seperti Business Page di Facebook dan lihat berapa ramai orang berinteraksi dengan Page anda.
5. Sediakan Perancangan
Setelah anda melakukan 4 langkah di atas, anda sudah bersedia untuk memulakan perniagaan dengan merangka rancangan perniagaan anda atau business plan. Kebanyakan bisnes gagal mencapai tahap yang diinginkan kerana kegagalan mereka dalam merancang dengan baik dan mengikuti perancangan mereka.
Rancangan perniagaan tidak perlu secara terlalu formal dan tebal sehingga anda sendiri tidak mahu membacanya. Sediakan rancangan untuk bahagian-bahagian penting bagi perniagaan anda.
6. Dapatkan Dana Atau Rancang Penggunaan Kewangan Dengan Dana Yang Sedikit
Antara sebab bisnes baru atau startups menemui kegagalan adalah disebabkan kehabisan wang. Jika anda tidak mempunyai wang yang cukup untuk memulakan idea anda sebagai bisnes, cuba dapatkan dana dari pelabur atau mohon geran perniagaan dari badan-badan seperti Cradle Fund, Tekun dan sebagainya.
Jika anda tidak dapat suntikan dana atau proses permohonan anda mengambil masa yang panjang, jalan altrnatif yang anda boleh terokai ialah memulakan perniagaan anda secara bootstrap — menggunakan duit sendiri dan mengawal penggunaan kewangan yang sedikit dengan kawalan yang sangat ketat.
Langkah ini terletak sepenuhnya di tangan anda untuk memilih di antara dua kaedah yang kami kongsi.
7. Bina Pasukan Yang Mantap
Sebagai pengasas, anda sendiri perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai pasaran anda dan produk atau servis yang anda tawarkan. Namun, untuk membina sesebuah perniagaan anda tidak boleh melakukannya berseorangan.
Rekrut orang lain yang boleh memberi sumbangan terhadap pembinaan bisnes anda. Semasa membentuk pasukan anda, pilih orang-orang yang mampu membantu dan bukan hanya untuk memenuhi ego anda. Ketahui kekuatan setiap ahli dan arah sumbangan mereka. Jika ada ahli yang tidak membantu pertumbuhan perniagaan anda, anda tidak mempunyai pilihan selain memecat mereka.
8. Jangan Takut Untuk Mencuba Melakukan Bisnes Sekali Lagi
Antara masalah yang kerap saya lihat, jumpa dan dengar ialah seseorang usahawan apabila menemui kegagalan atau perniagaan mereka menemui pengakhiran setelah tempoh yang panjang, mereka menjadi takut atau fobia untuk mencuba membina perniagaan lain dan bermula sekali lagi.
Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan ialah menilai kembali diri dan perniagaan tersebut. Cari dan kenali masalah atau kesalahan yang telah dilakukan dan belajar dari kegagalan tersebut.
Untuk membina perniagaan yang berjaya memerlukan pelbagai aspek yang perlu dijaga. Namun, jika anda mahu memulakan bisnes dari peringkat idea, 8 langkah di atas saya harap dapat membantu anda membina asas yang baik. Selebihnya terletak kepada diri anda dalam menimba ilmu dan mengadaptasi diri serta bisnes dalam persekitaran perniagaan yang penuh cabaran.
p/s: Jika anda berminat untuk belajar strategi perniagaan dan pemasaran yang efektif, anda boleh join channel Telegram Safuan Borhan di SINI.
Leave a Reply