Artikel ini ditulis berdasarkan perkongsian yang telah ditulis oleh seorang jutawan muda di US, Tucker Hughes. Pada usia yang masih muda – 22 tahun, beliau telah berjaya mencipta 1 juta USD pertamanya di dalam bidang yang amat mencabar iaitu hartanah. Beliau merupakan seorang Managing Director kepada syarikat Hughes Marino, sebuah syarikat korporat perunding hartanah di US.
Jom baca perkongsian beliau.
Nota: Setiap bait-bait perkataan yang ditulis selepas ini diterjemahkan terus daripada perkongsian yang telah ditulis oleh Tucker Hughes.

Tucker Hughes
Sewaktu saya menulis artikel ini (Desember 2015), saya berusia 22 tahun. Saya telah berjaya menghasilkan komisen berjumlah 1 juta USD sepanjang 12 bulan yang lepas di dalam bidang yang paling mencabar di atas muka bumi ini. Secara purata, kebanyakan pesaing jauh lebih berusia dan berpengalaman daripada saya. Sekurang-kurangnya, pengalaman mereka itu 10 tahun lebih dahulu daripada saya.
Saya merupakan pemegang master degree daripada University of San Diego. Saya telah mengembara ke lebih 50 buah negara, berjaya menamatkan 13 triathlons dan menjalani kehidupan yang sungguh membahagiakan.
Saya rasakan hidup saya cukup sempurna — tetapi, langit tidak akan selalu cerah.
Sebaik tamat belajar, saya berpindah ke California bagi menubuh dan menguruskan pejabat baru syarikat hartanah komersial milik keluarga. Pada permulaan penubuhan, segalanya terasa terlalu sukar. Saya seperti tidak tahu apa yang harus dilakukan dan kadang kala timbul rasa curiga akan kemampuan diri sendiri. Apakah saya mampu untuk bertahan dalam bidang yang mencabar ini. Bila diingatkan semula, saya merupakan seorang yang cukup berjaya sepanjang hidup sebelum ini, namun terasa sungguh berat mengharungi cabaran dalam perniagaan sekarang.
Setelah muhasabah diri berkali-kali dan melakukan perubahan kepada cara berfikir dan bertindak, saya dapat menyimpulkan sesuatu yang cukup penting. Untuk berjaya dalam dunia perniagaan yang maha mencabar ini, kita memerlukan keberanian sekuat konkrit dan sentiasa berfikiran kreatif.
Ini adalah 7 anjakan paradigma yang telah berjaya melonjakkan perniagaan saya sehingga saya berjaya mencipta 1 juta USD pertama saya dalam masa hanya 12 bulan.

1. Umur hanyalah sebuah angka
Jangan merasa rendah diri kerana berfikiran anda masih terlalu muda. Jika anda bijak menukarkan ‘usia muda’ itu menjadi aset terbaik, ia mampu memberikan lonjakan baru kepada hidup mahu pun perniagaan anda. Di saat anda memberikan 1001 alasan untuk tidak berjaya, di saat itulah segalanya akan gagal.
Jika anda percaya pada diri sendiri dan percaya anda mampu melakukannya, anda pasti akan berjaya. Malah, ramai orang di luar sana yang mahu melihat anak muda yang rajin, bijak dan berdedikasi untuk berjaya. Cipta momentum kejayaan anda sendiri dan pasti akan ada ramai insan lain yang mahu mengikuti anda.
2. Melabur untuk diri sendiri
Pelaburan yang paling selamat dan menguntungkan saya pernah buat adalah diri sendiri. Baca sekurang-kurangnya 30 minit sehari, dengarlah podcast semasa memandu dan carilah mentor untuk berguru. Jangan hanya menjadi pakar dalam bidang sendiri, tetapi jadilah seorang yang well-rounder, mampu bercakap tentang apa-apa subjek sekalipun – ekonomi, politik atau sukan.
Saya juga percaya ianya menjadi satu kemestian bagi saya untuk memberi ‘hadiah’ kepada diri sendiri atas usaha keras yang telah saya lakukan selama ini. Ini bagi memastikan saya tidak mudah berasa burnout atau fed-up.
3. Elakkan penat membuat keputusan
Jimatkan kuasa mental anda dengan membuat keputusan yang mudah diubah pada bila-bila masa. Bermakna anda tidak perlu membuang masa memikirkan perkara yang sama setiap hari bagi menyesuaikannya dengan situasi semasa.
Saya tahu apa yang akan saya pakai untuk ke pejabat dan apa yang saya mahu makan untuk sarapan setiap hari. Anda bagaimana?
4. Latih minda anda untuk bertahan lama
Perbezaan terbesar antara orang biasa-biasa dan orang yang berjaya adalah kebolehan untuk bekerja secara produktif berjam-jam pada satu-satu masa. Kebolehan ini sangat diperlukan apabila sesuatu kerja sudah hampir siap. Fokus adalah perkara paling utama. Tanpa daya tahan mental yang kuat, anda tidak akan mampu untuk bersaing dengan mereka yang sudah berjaya melatih minda mereka untuk bertahan lama.
5. Tulis matlamat anda
Sains di sebalik penetapan matlamat dan kebolehannya mempercepatkan proses kejayaan seseorang memang tidak dapat disangkalkan lagi. Jika anda masih belum mempunyai matlamat setahun, lima tahun dan sepuluh tahun dari sekarang, masih belum menulisnya di atas kertas, anda patut melakukannya sekarang. Saya baca goal setting saya setiap hari sebaik sahaja bangun daripada tidur. Sekarang, cuba anda tanya semula kepada diri sendiri, apakah yang anda mahukan dalam 10 tahun lagi? Adakah ia boleh dicapai dalam setahun?
6. Mempunyai sistem yang teratur
Rancang kerja anda dan jalankan rancangan itu dengan baik. Mungkin pencapaian terbesar saya adalah kejayaan menjalankan pemasaran secara automatik.
Cara termudah untuk menggerakkan rancangan anda adalah dengan menyediakan kempen demi kempen yang mampu menyentuh emosi prospek melalui pelbagai medium. Kempen ini dijalankan setiap minggu untuk sekurang-kurangnya selama sebulan. Susun siri kempen anda secara logik dan konsisten, tetapi ingat, jangan sampai prospek berasa menyampah pula.
7. Percaya pada diri sendiri
Kalau bukan anda, siapa lagi? Tiada siapa akan menghalang anda daripada mengejar cita-cita anda. Hampir setiap orang yang gagal ada sahaja alasannya. Namun, orang yang berjaya ada banyak kisah cabaran yang telah mereka berjaya atasi secara kreatif. Di saat anda yakin tiada apa yang mampu menghalang anda daripada terus mempelajari dan menyelesaikan masalah, itulah saat anda akan mencapai sesuatu yang hebat.
Jika anda masih belum tahu di mana mahu bermula, mulakan dengan berjanji yang anda akan berusaha keras mencapai kecemerlangan setiap hari. Inilah mentaliti asas yang saya telah amalkan sejak 12 bulan yang lepas.
Jangan berfikir terlalu kompleks. Ingat, jika anda inginkan kejayaan, mulakan langkah kejayaan itu sekarang dan jangan sama sekali bertoleh ke belakang semula.
Nota: Untuk dapatkan lebih banyak tips perniagaan, anda boleh dapatkan ia di channel Telegram Safuan Borhan. Sila Klik SINI untuk ke channel tersebut.
Leave a Reply