Ayat yang paling biasa kedengaran apabila orang bersembang kosong mengenai bisnes ialah, “Saya rasa minat nak mula berniaga”.
Walaupun ia bagus untuk mempunyai minat dalam bisnes, tetapi realitinya hanya beberapa kerat sahaja yang benar-benar memulakannya. Daripada golongan yang memulakan bisnes, hanya beberapa bilangan kecil sahaja yang cekal, tidak mengalah dan memberi fokus 100% terhadap bisnes mereka.
Kenapa senario di atas sudah seakan-akan lumrah kehidupan? Jawapannya mudah sahaja, tidak semua orang mempunyai kelayakan yang sesuai untuk menjadi seorang usahawan.
Apakah kelayakan tersebut? Ia tiada kena mengena dengan kelayakan akademik. Sebaliknya ia lebih kepada personaliti dan mindset anda. Berikut kami kongsi tanda-tanda samada anda sebenarnya tidak sesuai untuk menjadi usahawan:
1. Anda lebih selesa untuk menunggu arahan atau telunjuk
Di dalam dunia ini, ada dua jenis manusia; pemimpin dan pengikut. Yang mana satukah anda?
Walaupun anda merasakan anda seorang pemimpin, tetapi jika anda lebih selesa menunggu telunjuk atau orang lain, anda sebenarnya tidak layak menjadi seorang usahawan.
Tetapi jika anda ada rasa keinginan untuk berfikir, mengambil tanggungjawab dan menunujukkan jalan atau penyelesaian kepada orang lain – ia mungkin penunjuk bahawa keusahawanan sesuai untuk anda.
2. Anda lebih gemar membina impian orang lain.
Seorang usahawan terkemuka pernah berkata, “Anda perlu membina impian anda sendiri atau anda akan diupah untuk membina impian orang lain”.
Berkorban untuk orang lain bukanlah perkara yang buruk – malah ia boleh menjadi sesuatu yang murni. Contohnya, apabila ibu-bapa mengenepikan kehendak peribadi mereka demi anak-anak atau seorang guru berkorban masa dan tenaga untuk mendidik.
Tetapi apabila anda mempunyai cita-cita sendiri, anda wajib mengejarnya. Jika anda lebih gemar makan gaji dan berkerja untuk impian orang lain, maka anda tidak layak untuk menjadi seorang usahawan.
3. Anda tidak suka bekerja keras
Pokok pangkal kejayaan usahawan ialah usaha dan kerja keras. Ini kerana terdapat banyak faktor-faktor yang tidak menentu ketika menjalankan bisnes.
Jadi, untuk menghadapi isu dan cabaran tanpa perlu ‘tutup kedai’, anda perlu bekerja keras tanpa henti.
Walaupun ayat ‘work smart, not hard’ sering dicanangkan tetapi realiti pahitnya; sebagai seorang usahawan, anda wajib ‘work smart and work hard’.
Jika anda tidak bersedia untuk bekerja keras, maka keusahawanan bukanlah untuk anda.
4. Anda terlaku baik dengan semua orang
Lihat kembali, berapa kali anda cuba mengelakkan perdebatan kerana anda hendak menjaga hati seseorang?
Atau berapa banyak hutang dan diskaun untuk jualan anda kepada rakan-rakan atau ahli keluarga?
Tidak seperti yang kebanyakan orang percaya, usahawan berjaya bukanlah seseorang yang disukai oleh ramai orang.
Ini kerana untuk memastikan bisnes anda berjaya, kadangkala anda perlu membuat keputusan yang tidak begitu popular.
5. Anda rasakan tidak banyak perkara yang boleh ditambah baik
Cuba anda lihat di sekeliling anda. Berapa banyak perkara yang anda rasakan boleh ditambah baik?
Usahawan merupakan golongan yang sentiasa mencari penyelesaian untuk masalah atau menambah baik perkara-perkara yang telah wujud. Contohnya, trend yang boleh ditukar, teknologi atau kaedah baru untuk menyelesaikan masalah dan lain-lain.
Berbalik kepada soalan di atas, adakah anda nampak perkara-perkara yang mungkin boleh ditambah baik? Jika tidak, bermakna anda tidak sesuai untuk memulakan bisnes.
6. Anda seorang yang sentiasa mengikut trend popular (dan anda sukakannya)
Seorang usahawan perlu mempunyai mindset untuk sentiasa selangkah ke hadapan daripada pesaing-pesaing dan sasaran pelanggan.
Selain itu, usahawan perlu mempunyai sifat bereksperimentasi kerana tanpa eksperimen, anda sukar untuk menemui perkara baru.
Jika anda rasakan anda mempunyai satu atau dua tanda seperti yang dinyatakan di atas, tidak bermakna anda terus menutup impian anda.
Apa yang sepatutnya anda lakukan ialah mencabar diri anda untuk mengubah sikap-sikap di atas.
Nota Editor: Artikel ini ditulis oleh Bantu Team untuk blog mereka,blogspace.bantu.my.Bantu.my merupakan platform jual beli online untuk khidmat atau skil berkaitan bisnes, teknologi & rekaan kreatif.
P/S: Safuan Borhan ada menyediakan satu platform perkongsian ilmu bisnes dan marketing secara PERCUMA di SINI. Boleh lah join.
Leave a Reply