Terdapat pelbagai kisah-kisah kejayaan usahawan. Dari kisah jatuh bangunnya Steve Jobs, pengasas syarikat komputer Apple di Amerika Syarikat sehinggalah perjalanan jutawan muda kosmetik Aliff Syukri di Malaysia.
Selok-belok perjalanan dan jenis kejayaan yang dikecapi oleh setiap usahawan adalah berbeza. Namun, semua usahawan berjaya pasti akan bersetuju — untuk menjadi maju dalam bisnes, terdapat beberapa perkara tertentu yang wajib dilakukan oleh setiap usahawan di dunia ini.
Kami kongsi 6 daripada perkara yang perlu anda ketahui jika anda mahu maju dalam bisnes anda:
1. KEJAYAAN MEMERLUKAN KEBERANIAN
Untuk memulakan langkah usahawan dan cekal dalam apa yang anda usahakan memerlukan keberanian. Bagi sesetengah usahawan, perkara paling sukar ialah ketika mahu memulakan langkah keusahawanan pertama mereka.
Macam mana jika anda bukan seorang yang berani? Anda perlu ingat, keberanian boleh dibentuk jika anda mempunyai matlamat yang sangat kuat. Semakin kuat kepercayaan anda terhadap matlamat tersebut, secara tidak langsung anda akan menjadi semakin berani.
Matlamat keuntungan wang ringgit sahaja bukanlah matlamat yang kukuh. Perjalanan bisnes boleh menjadi perjalanan yang sangat panjang dan memakan masa selama bertahun-tahun. Hanya dengan matlamat yang benar-benar mendalam dapat memberikan anda keberanian untuk bertahan.
2. SELANGKAH LEBIH BAIK DARIPADA TIDAK BERGERAK
Ramai orang takut untuk memulakan langkah keusahawanan mereka. Rasa takut mereka amat mudah difahami. Alasan-alasan seperti “aku belum ready”, “masa belum sesuai”, “belum jumpa partner bisnes” dan lain-lain ada betulnya. Namun, terlalu banyak berfikir menyebabkan bisnes tidak pernah bermula.
Ya, memang benar anda wajib merancang sebelum memulakan bisnes. Tetapi anda tidak boleh kekal merancang selama-lamanya. Sambil merancang anda perlu menyusuli dengan tindakan.
Tidak mengapa jika anda mengambil langkah yang agak perlahan berbanding orang lain. Bak kata pepatah Cina: “Tidak kira betapa perlahan perjalanan anda, yang penting anda terus berjalan & tidak berhenti”.
3. DAPATKAN MENTOR YANG BETUL

Bagi mengatasi kerisauan anda, anda memerlukan pandangan kedua atau second opinion daripada seorang mentor. Pastikan mentor anda merupakan individu yang pernah bermula seperti anda dan pernah menempuh pelbagai cabaran sebelum berjaya maju dalam bisnes.
Berhati-hati ketika memilih mentor kerana di zaman ini, tidak ramai orang yang jujur dan genuine.
Apabila anda berjaya mendapatkan mentor yang betul, anda perlu mempunyai minda yang terbuka dan melihat nasihat-nasihat mentor tersebut melalui pelbagai aspek. Jangan ambil atau tolak nasihat-nasihat mentor anda secara membuta-tuli.
4. OVERHEAD RENDAH, KURANG MASALAH
Overhead ialah kos perbelanjaan bisnes anda. Ramai orang menyangka untuk menjadi maju dalam bisnes memerlukan kos yang besar. Ini mungkin boleh dilakukan jika anda dibesarkan dalam ‘buaian emas’.
Namun realitinya, anda perlu bermula secara kecil dan pastikan kos perbelanjaan kekal rendah. Cash flow yang tidak dikawal merupakan antara penyumbang terbesar kepada kegagalan bisnes kecil. Menaikkan tahap perbelanjaan jauh lebih mudah dari memotong kos.
Mengambil pekerja, renovate pejabat, kos sewa, membeli perkakas dan lain-lain aktiviti jika tidak dilakukan dengan cermat akan menyebabkan bisnes anda terpaksa menampung perbelanjaan tetap yang sangat besar.
5. JAGA RAKAN KONGSI

Dalam bisnes, konflik dengan rakan kongsi merupakan antara konflik yang boleh memakan banyak wang, masa & tenaga. Anda perlu ingat, rakan kongsi mempunyai hak yang cukup untuk mengambil kesempatan atau menyalahkan anda apabila timbulnya konflik.
Anda perlu berhati-hati apabila memilih rakan kongsi. Pastikan matlamat mereka boleh menyokong matlamat anda. Anda juga perlu menilai tahap integriti mereka. Jika tidak, mereka boleh menyeleweng untuk mendapatkan keuntungan peribadi dari anda.
Anda juga perlu mengambil kira tahap mental mereka. Rakan kongsi ketika saat tenang amat mudah dicari. Tetapi pastikan mereka juga mempunyai ketahanan mental yang kuat apabila bisnes berdepan dengan masalah. Jika tidak, rakan kongsi anda akan menjadi orang pertama yang menunding jari dan mempersoalkan bisnes yang anda lakukan bersama-sama.
6. FOKUS & KAWALAN PENTING LEBIH DARI APA YANG KITA SANGKA
Fokus dan mengawal bisnes tidak bermakna anda seorang diktator. Sebaliknya, sebagai seorang usahawan anda perlu memastikan bisnes dan rakan kongsi memberi fokus sepenuhnya terhadap bisnes.
Tambahan lagi, mengawal dan memberi fokus bermaksud anda berpegang teguh dengan matlamat dan prisip bisnes anda. Siapa lagi yang faham mengenai arah tuju bisnes tersebut melainkan diri anda sendiri?
6 tip di atas boleh menjadi panduan untuk maju dalam bisnes anda. Muhasabah diri dan rancang perjalanan anda. Kemudian apa yang tinggal adalah mengumpul keberanian, belajar dari kesilapan dan bertindak setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun.
Nota: Untuk dapatkan lebih banyak tips perniagaan, anda boleh dapatkan ia di channel Telegram Safuan Borhan. Sila Klik SINI untuk ke channel tersebut.
Leave a Reply