Semalam, kita tonjolkan usahawan yang berjaya yang sangat terkenal iaitu Tan Sri Syed Mokhtar dan Bill Gates. Hari ini kita ketengahkan pula usahawan wanita yang berjaya di Malaysia dengan tagline ” QU PUTEH QU PUTEH BARULAH PUTEH”…
Qu Puteh Qu Puteh, Barulah Putih — Tidak kira apa pun pendapat peribadi anda mengenai tagline ini, anda tak boleh nafikan ianya sebuah slogan pemasaran yang berjaya.
Selain dari tagline di atas dan trademark jari di pipi beliau, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida juga sinonim dengan perhiasan barang kemas, tiara yang berkilauan serta penampilan di media masa.
Namun siapa sangka di sebalik populariti dan gaya hidup glamour beliau di kaca tv dan paparan majalah, beliau sebenarnya bukan datang dari keluarga yang mewah. Apa yang beliau capai merupakan buah ganjaran dari pelbagai rintangan yang beliau lalui sebelum ini.
Dr. Vida berkongsi perjalanan dan tip-tip keusahawanan beliau dengan wartawan Bernama baru-baru ini:
1. Ketabahn hidup
Menurut Dr. Vida, perjalanan beliau tidak akan sampai ke peringkat sekarang jika beliau tidak tabah. Beliau pernah disabotaj, ditipu, difitnah dan gagal beberapa kali.
Dugaan paling besar yang beliau hadapi ialah apabila beliau kehilangan dua daripada empat anak-anaknya dalam kebakaran tiga tahun lalu.
Namun, ia tidak mematahkan semangat beliau untuk terus tabah dan berjaya dalam hidup.
2. Bermula dari bawah
Dr. Vida tahu apa itu erti bermula dari bawah. Semenjak ayah beliau meninggal dunia, ibu beliau mengambil upah menoreh getah untuk menyara keluarga.
Minat berniaga telah ada dalam diri Dr. Vida sejak kecil lagi. Bagi beliau, berniaga merupakan cara terbaik untuk menampung hidup beliau. Antara perniagaan terawal beliau ialah menjual kacang putih dan nasi bungkus kepada rakan-rakan di sekolah.
Di peringkat universiti, beliau menjual produk dari Kelantan seperti kain sarung batik, telekung, sambal daging dan keropok kepada rakan-rakan dan pensyarah beliau. Pada masa yang sama, beliau mengambil syif kerja di kilang dan kerja sambilan di restoran makanan segera berhampiran kampus.
Setelah tamat pengajian, beliau telah ditugaskan untuk mengajar di SJK (C) Poi Lam, Ipoh. Walaupun dengan gaji tetap, beliau tidak dapat menahan minat berniaga dan beliau mengambil kursus-kursus kecantikan untuk memulakan bisnes dalam bidang tersebut.
3. Kelahiran vida beauty
Beliau memulakan salon kecantikan dengan meminjam RM100,000 dari bank setelah tamat pengajian dalam ilmu kecantikan.
Ini merupakan risiko yang beliau ambil kerana beliau perlu membayar balik RM2000 kepada pihak bank setiap bulan sedangkan gaji beliau sebagai seorang guru pada waktu tersebut hanyalah RM3000.
Antara kesilapan pertama beliau ialah membelanjakan kesemua wang pinjaman dari bank untuk mengubah suai salon beliau. Namun, beliau tidak berputus asa dan mula menjual makanan, telekung dan barangan lain untuk menampung hidup beliau.
Idea Vida Beauty timbul apabila setelah 12 tahun menjadi pendidik, beliau membuat keputusan untuk berhenti dan menjadi jurulatih kecantikan di Pusat Latihan Vokasional Kebangsaan.
Antara cabaran yang beliau beri kepada pelajar-pelajar beliau ialah memberi servis rawatan muka dan rambut secara percuma di pusat membeli-belah. Ia menarik perhatian ramai orang, tetapi dalam masa yang sama pelanggan juga menanyakan mengenai produk pencuci dan penjagaan muka dan di sini beliau sedar mengenai permintaan barangan kosmetik.
4. Pernah kehabisan modal
Dr. Vida kemudian menerima geran RM1 juta daripada kerajaan untuk memulakan bisnes kosmetik beliau.
Separuh daripada wang yang telah dibelanjakan untuk penyelidikan dan pembangunan, termasuk perjalanan ke beberapa negara bagi mencari sumber bahan-bahan terbaik untuk produk kosmetik beliau.
Beliau kemudian menghabiskan RM500,000 untuk pengiklanan di media masa namun ia gagal memberi pulangan yang diinginkan.
Kerugian tersebut membuatkan beliau mengalami tekanan darah tinggi dan beliau menggunakan ramuan termasuk timun laut untuk merawat diri beliau.
Di situ lahirnya produk kesihatan Pamoga. Namun, kegagalan pengiklanan menimpa sekali lagi apabila beliau hanya berjaya menjual 500 botol Pamoga sahaja pada tahun tersebut.
5. Hujan ribut sebelum pelangi
Tamparan hebat dari kegagalan pemasaran beliau menyebabkan Dr. Vida hampir menamatkan bisnes beliau, namun beliau masih mahu membuat satu ‘tembakan’ terakhir – beliau memilih untuk bercakap mengenai produk beliau di radio RTM Kelantan FM.
Beliau bercakap mengenai produk beliau, terutamanya Pamoga, dalam slot 15 minit untuk dua hari.
Pada hari yang ketiga, dia yakin bahawa perniagaan beliau telah gagal dan pergi untuk menutup kedai beliau di sebuah pasar raya di Kota Baharu.
Yang mengejutkan, beliau mendapati orang ramai berkumpul di luar premis. Semenjak itu jualan produk beliau melonjak. Dari situ Dr. Vida menyedari bahawa testimoni pelanggan merupakan satu teknik yang amat berkesan.
Beliau juga menyedari kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam membuat pemasaran dan pengiklanan kerana beliau telah kerugian jutaan ringgit daripada pengiklanan yang tidak berkesan sebelum ini.
Selain itu, imej yang beliau bawa dirancang khusus untuk membuatkan jenama beliau mudah diingati. Beliau juga belajar seni membuat pemasaran melalui kontroversi – antaranya menukar warna stadium bola sepak Kelantan kepada warna merah jambu.
Nota Editor: Artikel ini ditulis oleh Bantu Team untuk blog mereka,blogspace.bantu.my.Bantu.my merupakan platform jual beli online untuk khidmat atau skil berkaitan bisnes, teknologi & rekaan kreatif.
P/S: Safuan Borhan ada menyediakan satu platform perkongsian ilmu bisnes dan marketing secara PERCUMA di SINI. Boleh lah join.
Leave a Reply