Bagi pengusaha atau usahawan bisnes bersaiz kecil dan sederhana, data mengenai trend atau kelakuan golongan pengguna merupakan data yang sering dilepas pandang disebabkan masalah kekurangan sumber. Malah, selalunya maklumat ini agak mahal — hanya firma dan syarikat besar mampu memperolehinya.
Trend untuk sesetengah produk amat mudah untuk dikenalpasti; kita hanya perlu meninjau pasaran dan mendengar buah mulut orang ramai. Jadi, trend atau kelakuan pengguna merupakan apa yang kami akan kongsi kali ini bersama para pembaca. Trend-trend ini diambil daripada laporan Euromonitor International, sebuah badan analisis bereputasi tinggi dan kami senaraikan trend pengguna di Malaysia yang mungkin penting dan berguna untuk bisnes anda. Mahupun jika anda baru sahaja mahu memulakan bisnes.
1. Semakin ramai pengguna beralih ke online untuk membuat pembelian
Pada tahun 2013, penjualan melalui online di Malaysia mencecah lebih daripada RM1.2 billion dan pada tahun 2014, kajian Google melaporkan bahawa; “2 daripada 5 rakyat Malaysian (43%) yang belum pernah membuat pembelian secara online sebelum ini akan memulakannya dalam tempoh 12 bulan yang akan datang”.
Walaupun sesetengah daripada golongan pengguna agak khuatir untuk memberi butiran kewangan peribadi mereka secara online, namun kebanyakan pengguna tertarik dengan pembelian secara online disebabkan ketelusan dalam aktiviti jual beli, kemudahan perbandingan harga, dan nilai serta kemudahan untuk mengetahui status stok barangan yang masih ada. Gelombang baru yang bakal kita lihat dari segi pembelian secara online ialah golongan pengguna yang mendapatkan atau membeli servis dan perkhidmatan secara online.
Mengapa ini penting untuk bisnes saya: Kami pernah berkongsi fakta mengenai 70% dari syarikat dan bisnes dalam kategori SME di Malaysia masih belum mempunyai laman web atau masih belum mengukuhkan kehadiran mereka di dunia online. Jika anda rasa bisnes anda merupakan salah satu dari golongan 70% ini, disarankan untuk anda mula menaik taraf sekarang.
2. Pengguna dalam industri pelancongan akan berbelanja lebih, namun…
Lebih ramai rakyat Malaysia memilih untuk melancong ketika musim cuti — samada ke lokasi tempatan mahupun luar negara — dan trend yang sedang berkembang ini tidak akan melalui sebarang perubahan drastik dalam tempoh terdekat. Pengguna dianggarkan untuk menaikkan kadar perbelanjaan sebanyak 17%. Tambahan lagi, dari semua pengguna yang bakal melancong, 91% bercadang untuk melancong lebih ke lokasi tempatan.
Namun, hakikatnya pengguna masih menumpukan terhadap tawaran yang boleh mereka terima. Menurut kajian, 75% dari pelancong yang terdiri dari rakyat Malaysia mengakui bahawa pilihan lokasi percutian mereka sering ditentukan berdasarkan tawaran atau harga istimewa yang boleh mereka nikmati. Malah, kebanyakan pengguna di Malaysia sering membuat tempahan di saat akhir secara online dan sejumlah kecil (namun sedang berkembang) sering melakukan pencarian secara online untuk melihat tawaran-tawaran yang menarik.
Mengapa ini penting untuk bisnes saya: Jika anda seorang pengusaha bisnes yang berkaitan dengan industri pelancongan, anda boleh mula memikirkan tawaran yang boleh anda lakukan untuk membuatkan bisnes anda lebih menarik berbanding pesaing anda. Perlu diingatkan bahawa nilai lebih untuk wang Ringgit merupakan tawaran yang sangat menarik dalam keadaan ekonomi sekarang dan dengan kejatuhan nilai matawang Ringgit. Juga, anda disarankan untuk menaik taraf kehadiran bisnes anda secara online.
3. Kadar hutang isi rumah semakin meningkat
Golongan pengguna di Malaysia agak rancak dalam membuat pinjaman kewangan dan kenaikan secara mendadak untuk kadar hutang isi rumah di negara ini boleh dilihat sepanjang tempoh beberapa tahun yang lepas sehingga kini.
Trend ini merupakan trend yang akan memberi kesan besar terhadap kuasa berbelanja pengguna ketika saat ekonomi yang sangat gawat.
Pada tahun 2013, purata baki hutang perumahan untuk seisi rumah mencecah RM47,353, naik 38% berbanding tahun 2008.
Kebanyakan daripada kadar hutang rakyat Malaysia adalah disebabkan pelaburan tanpa kawalan pada pembelian dalam sektor pembinaan dan perumahan. Satu lagi faktor yang menyumbang terhadap kenaikan kadar hutang ialah pinjaman untuk membeli kenderaan. Kebanyakan pengguna membuat pinjaman dari bank untuk membeli kenderaan samada kereta dan lain-lain.
Mengapa ini penting untuk bisnes saya: Jika kadar inflasi meningkat pada tahap kritikal, peniaga-peniaga yang mempunyai premis perlu menjangka pengurangan pembelian dari pengguna. Jadi, sediakan payung sebelum hujan. Untuk usahawan-usahawan startup teknologi, ini mungkin peluang anda untuk memikirkan konsep yang boleh membantu penjimatan wang dan lain-lain cara yang boleh membantu golongan pengguna.
4. Pengguna semakin sibuk dan semakin jarang memasak di rumah
Disebabkan kadar perkerjaan yang semakin sibuk, ditambah pula dengan kekurangan masa lebih-lebih lagi di kawasan bandar, pengguna mula kurang memasak dan lebih gemar membeli makanan yang disediakan.
Tambahan lagi, faktor kesesakan lalu lintas dan kekurangan tempat letak kereta menyebabkan populariti khidmat pesanan dan khidmat pandu lalu meningkat secara mendadak.
Namun, pengguna juga mempunyai keresahan dengan khidmat pesanan dan pandu lalu yang sedia ada disebabkan ia terhad kepada jenama-jenama terkenal serta makanan segera.
Mengapa ini penting untuk bisnes saya: Ini merupakan antara sebab mengapa perkhidmatan seperti FoodPanda, BeMalas dan MakanSharing mendapat permintaan. Malah, KFC juga telah menyediakan perkhidmatan pesanan dan penghantaran! Jika anda seorang pengusaha restoran atau kafe, jangan lupa menyediakan perkhidmatan penghantaran (atau berdaftar dengan perkhidmatan penghantaran yang sedia ada).
5. Golongan berpendapatan sederhana merupakan pembelanja terbesar namun sudah mula mengawal perbelanjaan
Untuk beberapa tahun yang lepas, kadar perbelanjaan pengguna dari golongan berpendapatan sederhana semakin meningkat seiring dengan perkembangan ekonomi dan pemberian subsidi untuk makanan, minyak dan tenaga. Pada tahun 2013, kadar perbelanjaan golongan berpendapatan sederhana sahaja mencecah RM530.6 billion, naik dari RM408 billion pada tahun 2008, kenaikan sebanyak 30%.
Tetapi dewasa ini, dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan subsidi, ditambah pula dengan kenaikan kadar inflasi, harga rumah dan perkembangan kadar faedah yang perlahan; menyebabkan pengguna lebih berwaspada dalam perbelanjaan.
Mengapa ini penting untuk bisnes saya: Sebenarnya, fakta ini lebih kurang sama dengan fakta yang kami nyatakan di atas. Untuk bakal usahawan, elakkan dari memulakan bisnes yang memerlukan premis tetap dan kos perniagaan yang tinggi (mungkin anda boleh memulakan bisnes secara online). Untuk yang sudah mempunyai perniagaan pula, anda disarankan untuk menawarkan diskaun dan promosi atau cuba mengurangkan kos operasi bisnes anda. Bak kata pepatah (sekali lagi kami nyatakan), sediakan payung sebelum hujan.
Nota Editor: Artikel ini ditulis oleh Bantu Team untuk blog mereka,blogspace.bantu.my.Bantu.my merupakan platform jual beli online untuk khidmat atau skil berkaitan bisnes, teknologi & rekaan kreatif.
P/S: Safuan Borhan ada menyediakan satu platform perkongsian ilmu bisnes dan marketing secara PERCUMA di SINI. Boleh lah join.
Leave a Reply