Filem Star Wars merupakan antara filem kegemaran kami di Bantu.my dan kami pasti ramai juga di antara anda yang pernah menonton salah satu dari francais filem tersebut.
Di sebalik jalan cerita, karakter, aksi dan grafik yang mempersonakan kita juga boleh belajar beberapa perkara yang berkaitan dengan wang dan pendapatan melalui filem Star Wars. Berikut kami senaraikan 5 perkara berkaitan wang atau money lessons yang boleh dipelajari dari filem ini.
Jika anda mempunyai sebarang penambahan sila kongsi dengan kami di ruangan komen.
1. Sentiasa Berunding Untuk Mendapatkan Nilai Terbaik
Dalam episod “The Phantom Menace”, watak Jedi Master Qui-Gon Jinn terperangkap di sebuah planet bernama Tatooine tanpa wang yang mencukupi untuk membaiki pesawatnya yang rosak. Tetapi dengan teknik tawar menawar yang cekap, dia bukan sahaja dapat membaiki pesawat dengan kredit malah dapat membebaskan seorang hamba abdi. Satu lagi contoh ialah dalam episod “A New Hope”, Luke Skywalker bertekad untuk mendapatkan drone baru sebagai ganti rugi kepada drone yang dijual kepada nya namun rosak dalam tempoh yang singkat.
Tawar menawar bukan sahaja hanya perlu dilakukan di bazar atau pasar. Dalam apa jua bentuk aktiviti yang melibatkan wang, pastikan anda berunding atau mencari jalan supaya anda boleh mendapatkan nilai terbaik untuk wang anda contohnya; diskaun, ganti rugi atau mata ganjaran.
2. Bayar Hutang Anda
Dalam episod-episod terawal filem Star Wars, penonton pasti mengenali Hans Solo sebagai salah seorang karakter yang mempunyai personaliti menarik, berani dan tampan — namun dikelingi hutang. Salah seorang pemiutang yang mengejar watak Hans Solo ialah Jabba Hutt, seorang ketua sindiket. Akhirnya Hans Solo berjaya ditangkap oleh pemburu upahan Jabba Hutt dan dikenakan hukuman yang sangat berat; beliau dibekukan menjadi patung hiasan kepada Jabba Hutt.
Jika anda berhutang, lebih-lebih dengan pihak yang berkuasa pastikan anda membayar hutang tersebut untuk mengelakkan sebarang gangguan dalam apa jua bentuk. Serta elakkan dari meminjam dari penjenayah atau along.
3. Pastikan Majikan Anda Gembira
Kami harap majikan anda bukanlah seperti watak Darth Vader dalam filem Star Wars. Ini kerana apabila orang bawahannya gagal menyelesaikan tugasan dengan sempurna dan membangkang arahannya, Darth Vader menghukumnya dengan menamatkan nyawa orang bawahan tersebut dan memberi pangkat kepada orang lain.
Dalam dunia sebenar, anda tidak akan menemui pengakhiran yang sama namun anda boleh kehilangan kerja, jawatan dan pendapatan. Pastikan anda menyelesaikan tugasan dengan baik dan jika anda ingin memberi pendapat atau bantahan sekalipun, jangan lakukan di khayalak ramai.
4. Berjimat Bukan Pada Tempatnya, Membawa Binasa
Penggemar filem Star Wars pasti tidak asing lagi dengan Death Star — pesawat perang gergasi yang mampu meletupkan sebuah planet. Pastinya untuk membina pesawat sedemikian memakan kos yang sangat besar sehingga mereka (pihak musuh) terlepas pandang mengenai kelemahan kecil dalam rekaan Death Star yang membolehkan pesawat perang gergasi ini dimusnahkan.
Sama juga dalam kehidupan seharian, ketika ingin membeli rumah atau kenderaan anda sendiri, jangan abaikan untuk berbelanja lebih masa dan wang untuk memeriksa dengan lebih teliti kerosakan-kerosakan kecil yang boleh mengakibatkan kerosakan dan kerugian lebih besar di masa hadapan.
5. Saiz atau Harga Tidak Menentukan Segalanya
Watak Yoda merupakan contoh terbaik untuk saiz bukan penentu pencapaian. Selain itu dalam episod-episod terawal filem ini juga memaparkan bagaimana pihak kebaikan yang tidak mempunyai bajet besar, mampu mengalahkan musuh yang mempunyai tahap kewangan dan saiz yang jauh lebih besar.
Dalam kehidupan seharian, lebih-lebih lagi jika anda seorang usahawan anda perlu menerapkan dalam minda bahawa harga dan saiz tidak menentukan kualiti atau pencapaian. Sebaliknya perancangan yang baik, komitmen yang tinggi dan konsisten adalah kunci kepada hasil yang berkualti.
Dinor says
Ha, terbaik tips tuan ni. Kadang2 banyak yang boleh belajar dari filem, cuma kita kurang perasan.