Perkataan ‘silap’ adalah satu perkataan yang tidak digemari oleh ramai orang. Ini disebabkan silap mempunyai konotasi negatif yang hampir sama dengan perkataan ‘gagal’.
Namun, seperti yang selalu disarankan oleh pakar-pakar motivasi dan usahawan berjaya; kita perlu sentiasa belajar dari kesilapan. Ini merupakan perkara yang sangat penting bagi usahawan.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kesilapan pemasaran yang perlu usahawan elakkan. Ini kerana kesilapan-kesilapan ini boleh membawa akibat jangka panjang yang buruk ke atas bisnes anda.
1. Tidak Menghiraukan Pembinaan Jenama Anda
Cuba membuat pemasaran tanpa mengambil kira penjenamaan merupakan salah satu dari kesilapan pemasaran yang sering dilakukan oleh usahawan baru. Ia ibarat menjemput orang makan di kenduri anda tanpa menyatakan alamat.
Jenama bisnes anda merupakan asas kepada identiti jangka panjang bisnes anda. Samada untuk pelanggan lama atau baru, penjenamaan anda perlu kekal konsisten dan dapat memberi maklumat mengenai identiti bisnes anda kepada mereka.
Penjenamaan seperti logo anda, tagline anda dan stail komunikasi bukan sahaja dapat memberi gambaran kasar mengenai bisnes anda – ia juga membuatkan pelanggan lebih rapat dan mempercayai anda.
2. Membuat Pemasaran Tanpa Sasaran Spesifik
Apabila ditanya, sejumlah usahawan akan menyatakan bahawa sasaran pelanggan mereka merupakan semua orang, atau semua wanita atau semua lelaki. Ini merupakan kesilapan pemasaran yang satu lagi.
Anda harus memilih siapa yang anda mahu sasarkan dalam pemasaran anda. Ini kerana ia mustahil untuk membuat pemasaran yang berkesan kepada semua orang.
Jangan tamak dengan mahu menyasarkan kepada semua orang. Ingat, bukan semua iklan sesuai untuk semua orang.
3. Terlalu Banyak Membuat Andaian Mengenai Sasaran Pelanggan
Sesetengah usahawan atau pegawai pemasaran terlalu bergantung kepada andaian semata-mata mengenai sasaran pelanggan mereka. Dan dalam masa yang sama, tidak menggunakan data dan statistik sebagai panduan.
Sebagai contoh, mereka membuat andaian mengenai penggunaan bahasa yang formal dan baku kepada sasaran pelanggan mereka yang lebih tua. Sedangkan melalui data menunjukkan sasaran pelanggan tersebut lebih sukakan gaya bahasa yang bersahaja.
Jika anda tidak mempunyai data yang cukup sekalipun, pastikan anda mempersoalkan semula andaian anda berulang-kali sebelum memutuskan untuk meneruskan andaian tersebut.
4. Melabur Terlalu Banyak Wang (Atau Terlalu Sedikit)
Untuk membuat pelaburan wang yang berjaya dalam pemasaran anda, anda perlu mendapatkan keseimbangan di antara wang yang dibelanjakan dengan hasil pulangan pemasaran tersebut.
Melaburkan terlalu banyak wang ke atas pemasaran di peringkat yang awal – sebelum anda benar-benar mengenali profil pelanggan – boleh menyebabkan pembaziran dan pemasaran yang kurang efektif.
Manakala membuat pelaburan yang terlalu sedikit selalunya berakhir dengan kekurangan data untuk membuat kesimpulan yang berguna.
5. Gagal Untuk Membuat Eksperimen
Pemasaran bukanlah game tembak dan kena. Pemasaran bukan juga game teka dan menang. Setiap aktiviti yang anda lakukan pasti berakhir dengan pelbagai keputusan sama ada baik atau kurang baik. Apa yang perlu dilakukan oleh setiap usahawan adalah menjalankan beberapa eksperimen. Setelah memperoleh keputusan, barulah anda boleh membuat keputusan sewajarnya.
Nota Editor: Artikel ini ditulis oleh Bantu Team untuk blog mereka, blogspace.bantu.my. Bantu.my merupakan platform jual beli online untuk khidmat atau skil berkaitan bisnes, teknologi & rekaan kreatif.
P/S: Untuk dapatkan tip-tips pemasaran dan bisnes secara PERCUMA daripada Safuan Borhan, anda digalakkan untuk join channel Telegram di SINI.
Leave a Reply