Di luar sana, terdapat beratus-ratus teknik, cara dan servis perancangan kewangan. Tetapi di sini, kami kongsi 5 asas kewangan peribadi yang mudah diikuti, difahami dan wajib diketahui jika anda mahu mula berdisiplin dengan wang anda.
1. Masa Merupakan Faktor Paling Penting
Anda pernah dengar pepatah ‘masa itu emas’? Selain daripada memberi maksud untuk menghargai masa, ia juga mengajar pengetahuan paling asas dalam kewangan iaitu semua aktiviti kewangan berkait rapat dengan masa.
Sebagai contoh, jika anda membeli kereta yang sangat mahal pada hari ini, kadar inflasi tahunan kereta tersebut akan membuatkan nilai kereta tersebut susut dan pada masa hadapan, anda akan menerima bayaran yang jauh lebih rendah jika anda mahu menjual kereta tersebut.
Contoh kedua, jika anda mula melabur sedikit demi sedikit pada masa sekarang, anda akan dapat menerima pulangan yang lebih di masa hadapan.
2. Rancang Perbelanjaan & Simpanan
Pastikan anda mempunyai pelan yang menentukan seberapa banyak yang boleh di belanjakan, dan seberapa banyak yang perlu disimpan. Pastikan juga anda mengetahui butiran-butiran perbelanjaan anda dengan menyimpan resit dan membuat semakan setiap bulan.
Kegagalan membuat perancangan asas ini antara penyebab utama ramai dari kita yang kehabisan wang di hujung bulan dan tidak mempunyai apa-apa sandaran sewaktu dilanda musibah.
3. Bincang Hal Kewangan Dengan Keluarga
Jika anda mempunyai anak-anak dan tanggungan keluarga, pastikan anda mendidik dan meletakkan peraturan-peraturan perbelanjaan. Bincang dengan cara berhemah dan berlaku jujur mengenai sebab anda mahu mereka mengatur perbelanjaan. Ini kerana ramai anak-anak yang tidak tahu mengenai seberapa banyak tanggungan kewangan ibu-bapa mereka dan ini menjurus kepada perbelanjaan berlebih-lebihan.
Jika anda hanya mempunyai isteri atau suami, bincang cara dan peranan terhadap simpanan dan perbelanjaan. Sebagai contoh, pendapatan suami digunakan untuk perbelanjaan harian dan pendapatan isteri digunakan sebagai simpanan dan pelaburan.
Jika anda masih bujang, bincang dengan ahli keluarga yang lebih arif apabila anda bercadang untuk membuat perbelanjaan yang agak besar.
4. Sentiasa Ambil Tahu Mengenai Tahap Kredit
Tahap kredit atau credit report merupakan rekod status pinjaman, status bayar balik dan status kewangan anda dengan pihak bank. Jika anda pernah membuat pinjaman dari mana-mana institusi kewangan, secara langsung status kewangan anda akan direkodkan.
Antara akibat kegagalan mengambil tahu mengenai kredit anda menyebabkan anda dilanda hutang yang berlebihan dan sukar untuk mendapat kelulusan dalam permohonan pinjaman yang lain.
5. Bayar Bil Bulanan Tepat Pada Masa
Bil-bil asas untuk kehidupan seharian seperti bil air dan elektrik perlu dibayar tepat pada masanya untuk mengelakkan jumlah berkumpul dan membebankan perbelanjaan anda di masa hadapan.
Lebih penting, bil kredit kad dan bil lain yang mempunyai kadar tempoh bayaran faedah perlu dibayar tepat pada masanya kerana kelewatan membayar akan menyebabkan jumlah faedah tersebut bertambah dan menyebabkan anda dilanda beban hutang yang tinggi.
Ingat, masa itu ringgit.
Nota: Untuk dapatkan lebih banyak tips perniagaan, anda boleh dapatkan ia di channel Telegram Safuan Borhan. Sila Klik SINI untuk ke channel tersebut.
Leave a Reply