Pakar ekonomi sudah pun meramalkan penurunan ekonomi dunia bermula dari tahun 2015. Sebenarnya, Malaysia bukan satu-satunya negara yang sedang menuju ke arah krisis ekonomi. Kejatuhan pasaran minyak dunia dan komoditi lain serta aktiviti jualan matawang yang tidak menentu bakal membuatkan tahun hadapan lebih mencabar.
Kegawatan ekonomi selalunya merupakan mimpi buruk kepada perniagaan. Namun, terdapat beberapa jenis bisnes yang tidak mempunyai masalah mengharungi kegawatan ekonomi, malah mampu meningkat naik disebabkan permintaan yang tinggi dari kalangan pengguna.
Jom kita lihat bisnes-bisnes tersebut. Mungkin anda boleh mendapat idea untuk memulakan salah satu dari bisnes di bawah:
1. Kosmetik
Tidak kira bagaimana keadaan ekonomi sekalipun, kepentingan kosmetik untuk para wanita tidak akan berubah. Malah harga barangan kosmetik tidak akan banyak berubah. Untuk memulakan bisnes kosmetik juga tidak susah, anda boleh bermula kecil-kecilan dengan menjadi agen jualan.
2. Filem & Hiburan
Kedatangan pengunjung ke pawagam selalunya menigkat ketika ekonomi gawat. Ini kerana sudah menjadi lumrah manusia untuk melakukan aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan ketika dilanda masalah. Aktiviti hiburan lain yang murah juga akan mendapat permintaan tinggi.
3. Bahan Makanan Asas
Ekonomi gawat bermakna pengguna akan lebih berjimat-cermat. Disebabkan itu, ramai orang akan cuba mencari nilai penjimatan yang terbaik. Dari segi makan minum seharian, lebih ramai orang memasak di rumah.
4. Khidmat Membaiki
Seperti yang dikatakan di atas, kegawatan ekonomi akan memaksa penjimatan di kalangan pengguna. Oleh itu, ramai orang akan memilih untuk membaiki barang yang rosak dari membeli yang baru. Barang perabot, gajet, kasut dan pakaian adalah antara barang yang perlu dibaiki.
5. Minuman Keras / Alkohol
Bagi mereka yang bukan beragama Islam dan gemarkan minuman beralkohol, kegawatan ekonomi tidak akan menghalang mereka dari berbelanja. Ini kerana bagi sesetengah orang, beer dan wine merupakan keperluan dan perlu ada di atas meja semasa makan malam atau ketika berehat bersama keluarga dan rakan-rakan.
6. Barangan Terpakai

Samada untuk membeli barang yang lebih murah atau menjual barangan anda untuk mendapatkan sedikit duit, bisnes barangan terpakai (samada kedai atau laman web) akan sering dikunjungi ketika ekonomi gawat.
7. Servis Untuk Bisnes
Kegawatan ekonomi akan menyebabkan bisnes-bisnes mencari jalan untuk mengurangkan kos dari segi gaji perkerja. Kebanyakan bisnes akan beralih kepada khidmat outsource atau freelancing.
8. Percutian Tempatan
Disebabkan kejatuhan mata wang berbanding wang asing ketika kejatuhan ekonomi, lokasi percutian luar negara akan berganti dengan percutian dalam negara.
9. Keagamaan
Sesetengah orang akan memilih cara rohani ketika berdepan dengan kegawatan ekonomi. Jadi jualan buku-buku keagamaan, kitab-kitab, konsert rohani dan kelas keagamaan akan meningkat.
10. Perubatan & Kesihatan
Selain dari kosmetik, tidak kira apa pun status ekonomi sesebuah negara permintaan terhadap barang perubatan dan servis kesihatan akan terus meningkat. Lebih-lebih di Malaysia di mana penyakit lifestyle seperti diabetes dan darah tinggi semakin menular di kalangan orang ramai.
Leave a Reply